Perutusan Maulidur Rasul 1432H

Alhamdulillah, syukur kehadratNya yang telah memberikan kita keizinan untuk terus berada di dalam bulan Rabiul Awal tahun ini.
                
Sebagaimana yang kita maklum, Rabiul Awal merupakan bulan di mana umat Islam khususnya di Malaysia menyambut hari kelahiran Baginda Rasulullah s.a.w.   Pada tahun ini, 12 Rabiul Awal disambut pada tanggal 15 februari, sehari selepas 14 februari 2011 iaitu hari memperingati kekasih atau nama lainnya “Valentime’s Day”.
                
Suka untuk saya bawakan satu kalam yang jelas berkenaan “maulidur rasul vs Valentime’s day” yang menjadi bahan hangat di blog-blog remaja kita hari ini, iaitu ; Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesiapa yang meniru sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kaum tersebut" (Riwayat Tirmidzi).

Di sini sukalah saya mengingatkan diri saya dan masyarakat siswa sekalian, bahawa dunia ini milik Allah S.W.T. setinggi manapun pangkat yang kita miliki. Kita hanyalah penumpang di bumi Allah s.w.t.

Sebagaimana kita menumpang dirumah orang lain, kita tidak bebas melakukan perkara yang kita ingini jika tidak dengan persetujuan dari tuan rumah. Di bumi ini, kita hanya boleh melakukan perkara yang dikehendaki oleh tuan punya bumi, iaitu Allah s.w.t. justeru kita tidak ada kuasa yang akan kekal selamanya melainkan kuasa Allah.

Seperti mana yang berlaku di timur tengah, kita baru menyaksikan kebangkitan rakyat secara besar-besaran menentang rejim yang berkuasa di Negara mereka. Ini membuktikan bahawa setiap penguasa akan menemui saat dimana kuasa mereka akan diambil balik oleh Allah s.w.t. 

Selain itu, Rasulullah sebagai pimpinan masyarakat yang dipandu oleh Allah s.w.t, tidak meletakkan agenda pembanggunan fizikal sebagai agenda utama sehingga mengenepikan pembanggunan rohani. Hal inilah yang perlu menjadi isi penting kepada mahasiswa hari ini, bagi melahirkan modal insan yang berkualiti.

Justeru, kita boleh menyaksikan bagaimana sepanjang 10 tahun baginda menjadi ketua Negara Islam Madinah, hanya sebuah sahaja banggunan yang didirikan iaitu Masjid Nabawi.

Pembanggunan hati dan roh yang diterapkan melalui tarbiyah dan asuhan baginda kepada sahabat, manusia hari ini mengenali halal, haram, dosa, pahala, syurga dan neraka.

Hakikat pembanggunan modal insan ini telah disebut oleh Allah s.w.t yang bermaksud : “bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dengan nama Tuhan mu yang Maha Pemurah, Yang Mengajar manusia dengan perantaraan kalam. Dia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya. Ketahuilah manusia benar-benar melampaui batas, apabila dia merasakan dirinya cukup (sebagai satu penyakit kalbu). Sekali-kali tidak (penawarnya ialah menyakini) sesungguhnya kamu akan kembali kepada Tuhanmu.” – surah al-Alaq, ayat 1-7.

Apabila pembanggunan insan dilaksanakan mengikut acuan islam, tidak akan berlaku budaya khianat, pecah amanah, salah guna kuasa dan sebagainya di kalangan rakyat termasuklah pemimpin.

Masyarakat remaja yang merupakan bakal pimpinan khususnya telah diasuh dengan rasa takut kepada azab Allah s.w.t akan menjauhi gejala vendalisme, sekalipun perbuatan dosa ini tidak diketahui oleh manusia, ia tetap dihitung oleh Allah. Inilah kejayaan kepimpinan Rasulullah s.w.t.

Maulidur rasul pada kali ini perlulah dijadikan kesempatan untuk menonjolkan lebih banyak kebaikan islam kepada masyarakat sekitar, bukan sekadar perarakan tetapi juga melalui nilai-nilai islam yang bersesuaian dengan fitrah semulajadi manusia.

Akhir kata, saya mengharapkan sambutan maulidur Rasul pada kali ini benar-benar memberikan manfaat kepada seluruh warga kampus khususnya dan masyarakat luar amnya, dalam meningkatkan kefahaman kita kepada islam yang syamil (komprehensif) yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w.